Monday, November 7, 2011

Pulau Nami : Lokasi Pelancongan


Pulau Nami terletak di daerah Chuncheon dan merupakan lokasi paling digemari oleh pelancong untuk dikunjungi termasuk saya sendiri. Tidak lengkap perjalanan anda di bumi Korea sekiranya tidak mengunjungi lokasi penggambaran Winter Sonata ini.

Friday, November 4, 2011

Kimchi : Makanan Korea


Kimchi merupakan makanan Korea yang dikenali di seluruh dunia. Kimchi merupakan sejenis makanan sampingan yang sangat popular dan secara amnya diperbuat daripada sayur-sayuran seperti kubis cina, timun, lobak putih dan diperasakan dengan bahan-bahan perasa yang lainnya.

Thursday, October 20, 2011

Masjid Besar Seoul


Masjid besar Seoul, atau dikenali sebagai Seoul Masjid di kalangan masyarakat tempatan merupakan sebuah masjid yang agung dan tersergam di tengah-tengah bandar metropolitan ini. Terletak di bandar Itaewon, masjid ini merupakan masjid yang sering dikunjungi oleh umat Islam untuk menunaikan ibadah solat, malah sering dikunjungi oleh pelancong segenap lapisan masyarakat.

Monday, October 3, 2011

Hanok Village : Lokasi Pelancongan


Hanok Village merujuk kepada perkampungan masyarakat Korea. Terdapat beberapa lokasi di mana perkampungan tradisional masyarakat Korea ini yang boleh kita kunjungi. Salah satu lokasi Hanok Village yang terkenal di bandar Seoul adalah yang terletak berhampiran dengan Gyeongbuk Palace.

Saturday, October 1, 2011

Hanbok : Pakaian Tradisional


Hanbok merupakan pakaian tradisional masyarakat Korea. Diperbuat daripada kain yang berwarna terang seperti hijau, merah, biru, pink, kuning dan lain-lain lagi. Pemakaian hanbok merujuk semula sejarah silam di era Dinasti Joseon di mana hanbok dipakai sebagai pakaian rasmi dan tidak rasmi bagi kerabat-kerabat di-Raja.

Menelusuri arus pemodenan, pemakaian hanbok masih diteruskan oleh masyarakat Korea walaupun telah mengalami perubahan dari segi reka bentuk, corak dan warna. Pada dasarnya, komposisi pakaian Hanbok ini terdiri daripada bahagian iaitu baju, kain dan seluar.


Bahagian baju dipanggil Jeogori, di mana ia merupakan bahagian atas pada hanbok tersebut. Ia dipakai oleh kedua lelaki dan wanita. bahagian ini menutup bahagian atas pemakai sehingga ke bahagian tangan. Bahagian ini  biasanya direka seperti sehelai baju yang menutup bahagian badan di sebelah dalam.

Chima merupakan kain bawah yang menutup bahagian bawah badan si pemakai. Terdiri daripada kain yang labuh diperbuat dari kain yang berwarna, ia menyerlahkan alunan hanbok itu sendiri. Biasanya bahagian ini diserikan lagi dengan riben yang dijadikan ikatan di pinggang.

Baji pula merupakan seluar yang biasanya dipakai oleh kaum lelaki. Seluar ini persis seluar pallazo yang reka bentuknya lebar dan tali pinggang akan digunakan pada bahagian pinggang.Jokki dan Magoja pula adalah sehelai vest atau jaket yang dipakai dibahagian luar hanbok. Bahagian ini dipakai bertujuan untuk memanaskan badan ketika musim sejuk.


Jika anda berada di Seoul, jangan lupa untuk mengunjungi Gyeongbuk Palace untuk mencuba pakaian ini. Di situ la salah satu tempat yang mudah bagi para pengunjung merasai pengalaman memakai pakaian tradisional masyarakat Korea ini.

Bagi bacaan penuh mengenai Hanbok, sila layari http://en.wikipedia.org/wiki/Hanbok .

Tuesday, September 27, 2011

Noraebang : Karaoke

Noraebang bermaksud Bilik Menyanyi. Di Korea terdapat sangat banyak pusat karaoke. Ini disebabkan masyarakat Korea memang obses dengan muzik meraka dan menjadikan menyanyi sebagai pegisian masa lapang.


Pergilah ke ceruk mana pun di bandar Seoul ini, anda pasti berjumpa dengan pusat karaoke. Pada kebiasaanya, pusat karaoke ini dibuka untuk seisi keluarga dari siang hinggalah ke lewat malam. Tidak banyak perbezaan antara pusat karaoke di Malaysia dan di Korea tetapi kualiti serta mutu sound system karaoke di Korea adalah jauh lebih hebat.


Bayaran yang dikenakan adalah serendah KRW 10000 ke atas untuk sejam. Namun anda pasti terkejut kerana anda akan diberikan waktu tambahan apabila menyanyi di sini. Tetapi ini bergantung pada tuan kedai jika mahu memberikan anda waktu tambahan. Kadangkala jika anda bernasib baik, anda akan diberikan sehingga 3 jam percuma.


Namun pun begitu, pilihan lagu adalah amat kurang bagi kita yang pada kebiasaanya menyanyi lagu Melayu dan Inggeris. Lagu-lagu Korea sangat updated walaupun lagu tersebut adalah lagu baru. Anda boleh memilih lagu-lagu Inggeris sebagai ganti kerana pilihan lagu-lagu Inggeris di sini not bad. Kepada penggemar irama Melayu, ada beberapa lagu Melayu dan Indonesia yang boleh dinyanyikan.

Jadi, jangan lepaskan peluang berkunjung ke pusat karaoke apabila anda berada di Korea. 

Saturday, September 24, 2011

Vitamin Water : Minuman


Vitamin Water adalah sejenis minuman yang popular di dunia. Produk ini telah menembusi pasaran Korea dan menjadi pilihan warga korea. Begitu juga dengan saya. Inilah minuman pilihan ketika berada di Korea. Minuman ini merangkumi beberapa perisa dan fungsi. 

Secara umumnya, Vitamin Water adalah minuman yang terdiri daripada khasiat vitamin yang berlainan seperti bekalan vitamin, detox dan tenaga. Harganya berpatutan dan sedap. Rasanya tidak manis kerana komposisi bahannya adalah rendah gula.

Anda boleh mencuba minuman ini apabila melawat Korea kelak..!

Perisa
Restore - Cranberry
Esential - Orange
Multi-V - Lomenade
Power- C - Dragon Fruit
Energy - Tropical Citrus
XXX - Acai Berry, Blueberry, Pomegranate

Boleh didapati di;
7-Eleven
Daiso
GS
dan semua rangkaian runcit lain.

Harga
KRW 1500 - 1900

Insadong : Lokasi Pelancongan


Insadong adalah sebuah lokasi pelancongan yang terkenal di Korea. Terletak bersebelahan dengan daerah Jongno-gu, ia merupakan lokasi jualan barangan kraft dan barang antik yang menjadi tumpuan mereka yang berada di bandar Seoul. Anda dapat menyaksikan sebuah jalan utama yang diberi nama Insadong-gil penuh dengan peniaga yang menjual hasil kraf mereka.

Wednesday, September 21, 2011

Coffine Gurunaru : Cafe


Coffine Gurunaru merupakan satu daripada ratusan rangkaian kedai kopi yang terdapat di bandaraya Seoul. Terdapat banyak cawangan serata kota Seoul ini. Memperkenalkan konsep kedai coffee yang tampak eksklusif ala Starbucks, anda harus berkunjung dan merasai menu yang terdapat disini.

Menu di Coffine Gurunaru terdiri daripada pelbagai jenis minuman seperti, kopi, latte dan ice blended yang menggunakan bahan serta ramuan yang berkualiti tinggi. Jika anda melancong ke Seoul, jangan lupa untuk singgah sebentar di cafe ini dan merasai menu istimewa iaitu roti bakar yang dihidang lazat bersama krim serta topping lainya.

Apa yang pasti rasa kopinya mewah dan menu-menu lainya hebat! Anda juga boleh mendaftar sebagai ahli secara percuma dan melayakkan anda mendapat potongan dan diskaun pada pembelian seterusnya. Harga yang ditawarkan bagi menu di sini juga berpatutan dan anda pasti rasai kepuasannya. 

Antara menu di Coffine Gurunaru;
Caramel Macchiato
Mocha Latte
White Chocolate
Roti Bakar Coklat
Salad etc

Rangkaian Coffine Gurunaru yang pernah saya kunjungi;
Berdekatan Cheonggyecheon stream dan Hankuk University of Foreign Studies

Rangkaian Harga minuman dan makanan;
KRW4000 ke atas


Friday, September 16, 2011

Pengalaman Menulis Hangeul (한글)

Gwanghwamun merupakan lokasi di mana saya berpeluang menulis Hangeul 한글 (Bahasa Korea). Anda boleh mencuba menulis nama dan negara asal anda di sini. Terletak di tingat bawah tanah di datara sejarah Gwanghwamun, anda akan dibantu oleh pegawai yang bertugas dan mereka akan mengajar anda langkah-langkah menulis perkataan dalam bahasa Korea.

Hangeul mudah untuk dipelajari dan huruf-hurufnya terdiri daripada Konsonan dan Vokal. Berbeza dengan bahasa Jepun yang mana terdiri daripada beberapa jenis, Hangeul hanya ada satu sistem huruf. Tidak mustahil jika anda dapat membawa perkataan dalam Bahasa Korea dalam tempoh yang singkat.

Jika anda ke Gwanghwamun jangan sesekali melepaskan peluang untuk mencuba menulis Hangeul. Para petugas akan memberi anda sehelai kertas putih dan sebatang berus beserta dakwat untuk menulis nama dan negara asal anda. 

Jangan takut! Kerana menulis Hangeul adalah mudah. Anda boleh merasai pengalaman ini secara percuma!

Saturday, September 10, 2011

T-Money : Kad Perjalanan Pintar


Kad T-Money merupakan kad tambah nilai pintar yang digunakan di Korea. Kad ini akan memudahkan anda ketika berada di Korea. Kad ini luas digunakan dalam sistem pangangkutan. Kad ini juga digunakan sebagai kredit tunai di sesetengah kedai serbaguna dan sebahagian perniagaan lain

Wednesday, September 7, 2011

Namsan : Lokasi Pelancongan



Namsan terletak dipuncak sebuah bukit di daerah Jung-gu di bandar Seoul. Berketinggian 262 meter yang dulunya dikenali sebagai Mount Mongmyeok tetapi kini lebih dikenali sebagai Namsan. Ia menawarkan pelbagai aktiviti riadah seperti mendaki, rekreasi dan menjadi pelantar tinjau bagi menikmati pemandangan indah bandar raya Seoul

Tuesday, September 6, 2011

Backpackers Ke Seoul, Korea Selatan

Rasai pengalaman mengembara di bumi Sonata sepuas-puasnya..



Jom bersama-sama kami menjelajah kota metropolitan Seoul sepanjang tahun, pada setiap musim..





Trip ini terbuka bagi lawatan berkumpulan, family, lawatan universiti atau apa sahaja.

*Nak request ke lokasi-lokasi tertentu pun boleh. Crew kami juga mampu berbahasa Korea.

KLIK DI SINI untuk Jadual Trip

Jom lawat Korea...!!

P/s :  Sila drop email anda di ruangan comment atau chat box untuk Full Itinerary.

Monday, September 5, 2011

Makanan Korea : Twiggim, Odeng & Topokki

Twiggim



Twiggim merupakan sejenis hidangan yang berasaskan seafood dan sayur-sayuran. Udang, Sotong, Seaweed, Labu, dan Keledek disaluti tepung rangup dan digoreng garing. Cara makannya, dicicah dengan sos topokki atau kicap cair kemudian makan.

*****


Odeng





Odeng pula ialah sejenis Fish Cake lembut yang dicucuk seperti sate. Ianya sejenis makan rebus dan bersup. Saya memanggilnya, Yong Tau Foo. Merupakan makanan pertama ketika pertama kali menjejak kaki ke Korea. Enak di makan panas-panas ketika musim sejuk.

****

Topokki




Sejenis makanan tradisional orang Korea. Diperbuat dari tepung besar (pulut). Dipotong-potong lalu dimasak bersama sos topokki. Rasanya seperti tepung kuih koci, sedikit liat dan sosnya berasa pedas. Ditabur sedikit bijan di atasnya. 

***


Tips:
Jika anda berada di Korea, dapatkan makanan ini di Restoran Jaws.
Range harga : KRW 2000- 3500 sehidangan.


Sunday, September 4, 2011

Festival Bunga Sakura : Cherry Blossom Festival


Festival Bunga Sakura diadakan pada setiap tahun di bulan April ketika musim bunga. Terdapat beberapa lokasi yang mengadakan festival ini di bandar Seoul dan juga bandar diluarnya. Antara lokasi yang menarik untuk dikunjungi adalah di Yeouido Park, Jinhae Gunhangje, Pulau Jeju, Cheongpunghoban dan beberapa tempat lain.

Pengalaman saya mengunjugi festival ini adalah di Yeouido Park di bandar Seoul berdekatan dengan Sungai Hanggang. Festival ini diadakan pada 13-17 April dan ianya akan berulang pada setiap tahun di antara tarikh tersebut. Dengan suhu lebih kurang 8-10 darjah celcius, mengunjngi festival ini memberi seribu pengalaman yang tidak akan dilupakan.


Apabila anda mengunjungi festival ini, anda berpengalaman untuk berjalan disepanjang jalan di kawasan Yeouido ini dengan rimbunan pohon sakura yag berwarna pink putih di kiri kanan anda. Bagi rakyat Korea sendiri, berkunjung di festival ini adalah satu kemestian kerana hanya setahun sekali phon sakura ini mengeluarkan bunga yang cantik.

Anda dinasihatkan supaya bersedia dari segi fizikal dan mental apabila berkunjung ke festival ini kerana jumlah pelawat di festival ini adalah sangat ramai. Anda juga tidak akan melepaskan peluang berjalan menyusuri kaki lima jalan raya ini sambil menikmati keindahan pohon sakura.


Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang berlangsungnya festival ini ialah, persembahan pentas yang melibatkan artis-artis dan pemuzik tempatan, pameran arca tumbuh-tumbuhan, aktiviti riadah seperti berbasikal dan berkasut roda, jualan cenderatihati dan makanan serta pelbagai aktiviti lain yang menarik.



Di festival ini, anda pasti tidak henti merakam beratus-ratus foto kerana suasana di festival ini sangat happening. Ambillah peluang ini untuk mengabadikan foto bersama rakan-rakan dan keluarga.



Tips :
Pakailah pakaian yang berwarna warni mengikut tema musim bunga apabila mengunjungi festival ini.
Jangan lupa bawa bersama kamera anda!


Jangan lupa untuk mencuba sotong kering bakar ini!

Pengangkutan ke Yeouido Park :
Subway Line 9

Saturday, September 3, 2011

Myeongdong : Lokasi Pelancongan

Myeong-dong merupakan pekan yang terletak dalam daerah Jung-gu, Seoul di antara Chungmu-ro, Eulji-ro dan Namdaemun-ro. Merangkumi keluasan sejauh 0.99KM persegi dan didiami seramai 3600 populasi merupakan sebuah kawasan komersial yang terdiri daripada pusat beli-belah dan menjadi lokasi wajib untuk dikunjungi.

Perkembangan Myeong-dong menjadi pesat setelah Perang Korea sehingga ke tahun 1960-an. Kepesatan ekonomi Myeong-dong berkembang daripada aktiviti ekonomi di Namdaemun dan Eulji-ro. Melihat perkembangan Myeong-dong, banyak bangunan didirikan di sini dan rata-rata penyewa membuka pusat serta beli-belah. Terdapat sejumlah gedung beli-belah terkemuka di sini seperti, Lotte Department Store, Shinsegae Department Store, M Plaza, Migliore, dan Noon Square.


Ramai remaja dan golongan dewasa gemar menghabiskan masa bersiar-siar di sini. Deretan kedai dan pusat pakaian bakal menjadikan anda rambang mata ketika membeli belah. Pengalaman saya ketika di sini, saya gemar membelanjakan wang membeli pakaian di sini. Gedung favourite saya sudah tentu H & M. Jika anda bernasib baik seperti saya, setiap kali berkunjung ke Myeongdong, pasti gedung ini sedang SALE!!


Selain H&M, banyak lagi gedung pakaian berjenama lain yang anda boleh kunjungi seperti, ZARA, Forever 21, Guess, Puma, SPAO, UniQlo dan sebagainya. Pendek kata, Myeong-dong merupakan tempat yang wajib di kunjungi apabila anda tiba di Seoul. Pengalaman beli-belah anda pasti berlainan daripada anda berbelanja di tempat-tempat lain.

Kemudahan lain yang terdapat di Myeongdong:
Restoran
Cafe & Kedai Kopi
Bank & ATM
Telefon Awam
Pusat Tukaran Wang
Myeongdong Theater
ETC..



Info :
Myeongdong Festival diadakan setiap dua kali setahun iaitu penguhujung Mac dan April, dan di bulan September. Pada waktu ini kebanyakan gedung dan kedai mengadakan jualan murah.


Barangan Beli Belah yang terkenal di Myeongdong :
Pakaian
Kasut
Bag
Aksesori
Make-Up

Kemudahan Pengangkutan :
Subway Line 4 & 2
Bas

Friday, September 2, 2011

Budaya Korea : K-Pop !!

K-Pop memang pengaruh yang sedang meletus di serata dunia. Di Malaysia, peminat K-Pop sememangnya ramai.. Industri muzik Korea memang luas.. Hampir setiap bulan ada sahaja group-group baru yang muncul. lambakan karya muzik meraka juga cukup advance.

Contoh paling baik, Wondergirls. Group wanita ini telah pun memasuki pasaran muzik US ttahun lepas setelah meledak secara ekstrem di Korea dan negara Asia sekitarnya. Kini di Korea, group-group muzik yang wujud di Korea muncul dengan lagu yang sangat menarik.

Pada masa kini group wanita yang paling top adalah Girls Generation. Tetapi terdapat lambakan group lain yang setiap hari mengeluarkan single yang hebat belaka. Group seperti Miss A, After School, 4 Minutes, Kara, apa lagi... Sekadar menyebut beberapa nama berlumba-lumba meletakkan lagu mereka ke puncak carta hits.




Group-group lelaki jugak tak terkecuali. Super Junior memang antara group yang have huge of fans! Lagu Mr Simple mereka mendapat view sebanyak 3 juta selepas 5 hari diupload di laman Youtube.. 2PM, MBLAQ, BEAST, C N Blue, FT Island pula merupakan group lelaki lain yang sangat popular di Korea.. Search saja di Youtube, berlambak lagu mereka yang boleh anda dengari, termasuk lagu-lagu baru.

Di Seoul, terdapat banyak spot dan kedai yang menjual pelbagai cenderahati artis-artis K-Pop ini.. Tak ketinggalan kedai menjual CD dan album artis-artis ini, anda boleh borong segala item yang dijual, kerana rata-rata harga jualan bagi album-album arti K-Pop jauh lebih murah dan berkualiti berbanding yang dijual di Malaysia..




Apabila anda menjejakkan kaki di Seoul, lagu-lagu yang didendangkan oleh artis-artis ini pastinya berkumandang di serata tempat. So, apa lagi, tak kan nak menjadi peminat jarak jauh sahaja. Jom ke Korea, dan alami kemeriahan industri muzik di sana.

Range Harga Album-album K-Pop di Korea : 
Bermula KRW8000

Tuesday, August 23, 2011

Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (ICN)

Incheon International Airport merupakan salah satu lapangan terbang terbaik di Asia. Ini adalah destinasi pertama yang anda akan jejaki apabila melawat Korea dari negara Malaysia. Berikut merupakan info dan tips apabila anda tiba di lapangan terbang ini.

Kaunter Imegresen
Anda akan melalui kaunter semakan imigresen selepas 10 minit anda berjalan dan menaiki tren transfer. Pastikan anda tidak memakai topi dan kaca mata hitam apabila melalui kaunter semakan. Pastikan passport, Arrival Card dan Customs Declaration Card ada bersama-sama anda. Rata-rata pegawai yang bertugas di kaunter imigresen boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. So jangan risau.

Arrival Card
Kad ketibaan ini harus dan lebih baik diisi sebelum mendarat. Kad ini akan disimpan oleh pegawai imigresen. Pastikan anda memenuhkan segala butiran dengan lengkap. Jika anda tidak begitu  pasti alamat tempat tinggal anda di Korea nanti, tuliskan Seoul pada ruangan Address In Korea. Kad ini boleh diisi dengan menggunakan Bahasa Inggeris.


Customs Declaration Form
Kad ini juga sebaiknya diisi sebelum anda mendarat. Kad ini meminta anda supaya mengesahkan barangan yang anda bawa. Barangan seperti perfume, minuman beralkohol, barangan daripada sumber tumbuhan dan juga produk daripada sumber haiwan harus disahkan. Jika anda membawa produk makanan, tidak menjadi masalah besar tetapi perlulah yakin dalam masa yang sama berwaspada. Barangan makanan basah seharusnya dielakan. Kad ini harus diserahkan kepada Pegawai Kastam selepas anda memungut bagasi sebelum ke lobi ketibaan.


Pengambilan Bagasi
Bagasi boleh dipungut setelah anda melepasi kaunter imigresen di tingat dua. Turun ke tingkat satu menggunakan escalator dan carousel bagasi terdapat di level ini. Perhatikan papan kenyataan bagi mengetahui bagasi anda akan ditempatkan di carousel mana. Pastikan anda memungut bagasi anda yang betul. Jika terdapat masalah kehilangan misal kata, terus ke kaunter kehilangan terdekat.

Apabila anda pulang ke Malaysia proses yang harus anda lalui adalah seperti berikut.

Check In di kaunter > Pemeriksaan di Kaunter Imigresen > Menunggu pesawat di balai pelepasan > Depart


Perkhidmatan lain yang terdapat di Lapangan Terbang ICN :
Pusat pertukaran wang asing
Perkhidmatan sewaan telefon
etc.


Kemudahan yang terdapat di lapangan Terbang ICN :
Telefon awam
Tandas / Bilik Air
Tempat bersembayang
Cafe
Mesin ATM
Kedai Serbaneka
Duty Free Shopping Zone
etc

Untuk maklumat lanjut mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sila layari :

http://www.airport.kr/

Monday, August 22, 2011

Persiapan Sebelum Bertolak Ke Korea : Makanan

Korea merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai jenis makanan dari makanan asas sehinggalah ke pencuci mulut dan makanan ringan. Namun begitu sebagai seorang Muslim, terdapat sedikit kesukaran bagi mendapatkan sumber makanan halal di premis-premis yang menghidangkan makanan berkonsepkan masakan Korea. Rata-rata kedai menjual makanan di sana tidak Halal. Oleh sebab itu, makanan merupakan persiapan penting sebelum anda bertolak ke Korea.

Apabila anda di Korea, anda boleh membuat pelbagai pilihan dan alternatif bagi mendapatkan bekalan makanan. Anda boleh beli di kedai ataupun masak sendiri.

Di bawah ini merupakan beberapa info dan tips untuk mendapatkan sumber dan stok makanan.

Makanan Korea
Terdapat sejumlah besar restoran yang menawarkan masakan Korea yang pelbagai rasa dan style. Namun, jangan sesekali pesan makanan yang berasaskan daging, baik ayam atau daging lembu. Ini kerana cara penyembelihan mereka diragukan. So elakkan ayam dan daging. Pilih makanan yang berasaskan seafood dan sayuran sahaja.

Makanan Halal
Walaupun tidak mempamerkan sijil halal, terdapat banyak restoran muslim di Seoul. Restoran yang diusahakan oleh warga Pakistan, Arab dan India rata-rata menghidangkan makanan Halal.Di Seoul sendiri, makanan yang sering menjadi pilihan pelancong beragama Islam adalah kebab. Di daerah Itaewon juga terdapat sejumlah restoran Muslim. So jangan ragu-ragu!

Restoran Makanan Segera
McDonalds, KFC, Burger King, Pizza Hut memang bersepah di Seoul, tetapi jangan berani untuk membeli produk yang berasaskan daging kerana proses penyembelihan mereka diragui. Jika teringin makanan segera ini, dapatkan produk yang berasakan sayuran dan seafood.

Barangan Runcit
Stok bahan mentah makanan tidak sukar diperolehi. Terdapat bayak supermarket dan mart yang menjual barang keperluan makanan. Tetapi jika anda ingin mendapatkan stok ayam dan daging, dinasihatkan tidak membeli di pasaraya tetapi disyorkan mendapatkan stok di kedai=kedai runcitan yang diusahakan oleh orang Arab dan India. Di Itaewon merupakan tempat mendapatkan stok keperluan makanan yang paling mudah dan selamat.

Minuman
Korea memang terkenal dengan kepelbagaian air minuman. Anda boleh meminum apa sahaja minuman yang terdapat di Korea melainkan yang mengandugi alkohol. Biasanya minuman yang beralkohol ditempatkan berasingan. Semua mineral water mereka boleh diminum. Begitu juga dengan jus-jus buahan. Produk susu juga tiada masalah untuk diambil. Tetapi haruslah sentiasa membaca label pada botol atau tin dengan teliti sebelum membeli. Dan yang paling penting YAKIN!

Stok Makanan Dari Malaysia
Sepanjang perjalanan saya ke negara Korea, barangan makanan tidak menjadi masalah besar untuk dibawa masuk. Memang mereka meminta kita untuk declare barangan yang kita bawa termasuk makanan, tetapi dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada kerana produk yang berasaskan ikan dan tumbuhan adalah barangan yang wajib di'declare'. Sekali lagi, YAKIN dan waspada perlu ada. Terpulang pada anda ingin membawa stok makanan dari Malaysia atau tidak.

Thursday, August 18, 2011

Persiapan Sebelum Bertolak Ke Korea : Penginapan

Perkara yang harus dipersiapkan sebelum anda melancong ke Korea adalah tempat tinggal dan penginapan. Beberapa pilihan tempat menginap adalah :

Hotel
Hotel merupakan tempat menginap yang selesa dan juga ekslusif. Terdapat banyak hotel penginapan di Korea. Di Seoul sendiri terdapat banyak hotel yang boleh disewa sebagai tempat menginap. Anda boleh Google hotel-hotel yang terdapat di Korea dan pilih hotel yang anda mahukan. Namun, caj yang dikenakan untuk hotel di Seoul adalah agak tinggi. Namun jika anda berkemampuan apa salahnya.

Guest House
Bagi pelancong backpakers, guest house merupakan pilihan baik kerana ia lebih murah dan sangat selesa. Rata-rata guest house di Seoul mengenakan caj KRW 15000 ke atas bagi setiap orang untuk satu malam. Ini bergantung kepada jenis rumah dan musim. pada peak season sewa harian di guest house mungkin akan naik. Musim panas dan sejuk merupakan peak season kerana memaksa penggunaan air cond dan heater yang banyak. Pemilihan guest house juga baik kerana kebanyakan guest house menyediakan kemudahan seperti di rumah. Biasanya guest house menyediakan bilik mandi, tempat masak, peti ais, mesin basuh, microwave, cerek elektrik dan lain-lain.

Motel
Motel juga adalah satu alternative bagi pelancong kerana ia lebih murah daripada hotel. Tetapi, kemudahan yang disediakan hanyalah kemudahan yang asas seperti air cond atau heater, bilik mandi dan katil serta tilam. Dengan ketiadaan tempat masak seperti di guest house, ini memaksa anda untuk menyediakan perbelanjaan yang lebih untuk makanan.

Di Korea, anda tidak perlu begitu risau dengan keselamatan sekitar tempat menginap kerana kebanyakan tempat tinggal di Korea mementingkan keselamatan dengan memangsang sistem pengunci pintu elektronik. Jadi tahap keselamatan anda apabila menginap di tempat mereka berada dalam keadaan sangat baik.

Friday, August 12, 2011

Persiapan Sebelum Bertolak Ke Korea : Wang Perbelanjaan

Wang Perbelanjaan adalah persiapan yang paling penting sebelum seseorang pergi melancong. Jika anda mahu melancong ke Korea, wang perbelanjaan harus diperuntukan mengikut tujuan dan aktiviti yang akan anda lakukan di sana.

Di sini beberapa tips bagi memperuntukan wang perbelanjaan :

Jika anda cuma melancong berjalan-jalan;
Anda perlu peruntukan wang secukupnya untuk pengangkutan. Misal kata anda berada di Korea selama 7 hari 6 malam, dan berjalan pada setiap hari, anda perlu memperuntukan sekurang-kurangnya 30000 won sebagai tambang bagi bas dan perkhidmatan tren. Bayaran masuk di sesetengah lokasi pelancongan seperti Pulau Nami juga perlu disediakan. Contoh-contoh lokasi pelancongan yang berbayar seperti dilampirkan pada akhir entry ini.

Jika anda melancong untuk membeli-belah;
Jika anda kaki shopping dan tidak gemar berjalan ke banyak tempat, anda boleh kurangkan peruntukan tambang perjalanan dan pengangkutan. Harus diingat, jangan terlalu percaya kepada kata-kata orang yang di Korea semuanya murah-murah. Ada sesetengah tempat, sangat murah dan ade sesetangah tempat harganya lebih mahal berbanding di Malaysia.Dinasihatkan supaya membawa wang secukupnya supaya anda tak ketinggalan dan tidak terlepas peluang bagi mendapatkan barang yang diidamkan.

Bayaran masuk lokasi-lokasi pelancongan :
Pulau Nami : KRW 8000
Gyeongbukgong Palace : KRW 3000
World Cup Stadium : KRW 1000
Lotte World : KRW15000 ++

Tambang Pengangkutan :
Bas : KRW 1050 ke bawah
Tren : KRW 1050 ke atas (Mengikut destinasi) satu perjalanan.
Kadangkala selepas anda menaiki tren, kemudian anda menaiki bas, bayaran tidak dikenakan apabila menaiki bas.
Bas tranfer dari/ke Airport : KRW 10000 ke atas.

Produk Beli-belah :
Pakaian : Sederhana. Boleh jadi sangat murah dan berbaloi pada musim sale.
Kasut : Sederhana. Jika sale, ada yang murah.
Aksesori : Murah ke sederhana.
Make-up dan penjagaan diri : Produk Korea, murah! Produk Antarabangsa, tak pasti kerana tak pernah beli.

Apa lagi simpan duit. Jom kita ke Korea! Sure menarik!!

Sunday, August 7, 2011

Persiapan Sebelum Bertolak Ke Korea : Pakaian

Pakaian yang harus anda siapkan sebelum bertolak ke negara 4 musim ini..

Musim Sejuk :
Winter Coat - Wajib (Melainkan anda Iceman)
Sweater - Manalah tahu kalau2 winter coat tak dapat nak warmkan tubuh badan.
T-Shirt & Kemeja Casual - Secukupnya.
Seluar - Seluar panjang contohnya jeans, cargo pants atau lain-lain yang sedikit tebal.
Sarung Tangan - Perlu, untuk mengelak tapak tangan anda sejuk dan kebas.
Penutup Telinga - Perlu untuk mengelakkan telinga berdesing.
Kasut - Bertutup, but musim sejuk lebih sesuai.
Stoking - Perlu, amat berguna pada waktu tidur.

Musim Bunga :
Jacket - Wajib. Jacket yang sedikit tebal amat sesuai.
Sweater - Perlu. Kerana di dalam rumah pun kadangkala sejuk.
T-Shirt & Kemeja Casual - Secukupnya
Seluar - Seluar panjang. Jeans atau lain-lain.
Sarung Tangan - Yang tidak terlalu tebal sudah memadai.
Kasut - Bertutup.
Stoking - Stoking yang tidak tebal memadai.

Musim Panas :
Jacket - Tidak perlu!
Sweater - Dipakai sekadar fesyen.
T-Shirt & Kemeja Casual - Secukupnya. Lengan pendek memadai. Jika lengan panjang fabrik nipis.
Seluar - Pendek atau panjang fabrik tidak tebal.
Sarung Tangan - Tidak Perlu
Kasut - Yang tidak bertutup lebih sesuai. Selipar atau sandal pun sudah cukup.
Stoking - Nak bawak boleh, tak bawa pun tak mengapa.

Musim Luruh :
Jacket - Perlu kerana suhu pada musim ini adalah sejuk!
Sweater - Jika dibawa bersama lebih bagus.
T-Shirt & Kemeja Casual - Secukupnya.
Seluar - Seluar panjang lebih sesuai.
Sarung Tangan - Yang tidak tertalu tebal memadai.
Kasut - Bertutup lebih sesuai.
Stoking - Perlu kerana cuaca pada waktu ini dingin.

Tips : Scarf dan mafla adalah berguna pada setiap musim kecuali musim panas. Scraf dan mafla yang dililit pada leher serta kepala membantu menghangatkan tubuh badan.

Saturday, August 6, 2011

Melancong Ke Korea

Melancong ke Korea merupakan satu impian yang telah lama saya idamkan sepanjang hidup. Menanam impian untuk melawat Korea semakin membuak-buak setelah seorang rakan melanjutkan pelajaran ke Korea pada tahun 2008.

Bermula di saat itu, saya teringin sekali ke Bumi Sonata ini. Lantas percutian pertama saya ke Korea adalah pada musim bunga yang lalu. Rencana untuk ke Korea tidak dirancang. Kebetulan rakan di Korea memerlukan bantuan. Saya lantas membeli tiket dan menanti 3 minggu sebelum terbang ke Korea. 

Sebaik kaki mencecah negara ini, suhu dicatatkan serendah 7 darjah celcius. Ah, jauh berbeza sekali dengan keadaan di Malaysia. Tapi saya tidak menghiraukannya kerana berfikiran bahawa suasananya sama sahaja. Tertanya telahan saya meleset sebaik keluar dari Stesen Subway. Lantas sarung tangan disarungkan. Sejuk!

Perkara pertama yang harus dilakukan bagi anda yang bercadang untuk melancong ke sini ialah membeli tiket pesawat awal. Lebih awal anda membeli tiket kapal terbang, kebarangkalian untuk anda mendapatkan tiket yang lebih murah adalah besar. Penerbangan yang menjadi pilihan saya ialah Air Asia. Ya, itu pilihan terbaik kerana ia jauh lebih murah berbanding dengan penerbangan lain yang ada.

Klik sini untuk ke page Air Asia.

Persiapan yang perlu disediakan sebelum melancong ke Korea adalah :

Pakaian - Sesuaikan dengan musim yang anda akan pergi.
Wang - Pastikan cukup dan mengikut kemampuan anda.
Penginapan - Pastikan anda telah menempah tempat menginap anda sebelum terbang ke sini.
Makanan - Jika anda particular bab makanan. (Saya terbang dengan membawa cili boh!)

Nantikan entry seterusnya mengenai topik-topik lain...

Annyeonghaseyo..

Life Di Korea

Best dan Fun.. !

Hidup di Korea sebenarnya tidak banyak beza seperti di Malaysia. Perbezaan paling ketara antara Malaysia dan Korea adalah cuaca. Di Korea, negara ini merupakan negara empat musim yang terdiri dari Musim Sejuk (Winter), Musim Bunga (Spring), Musim Panas (Summer) dan Musim Luruh (Autumn).

Suhu dan cuaca di Korea berbeza-beza mengikut musim. Pada musim sejuk, suhu di Seoul boleh mencecah ke nilai -17 darjah celcius dan boleh naik mendadak pada musim panas 33 darjah celcius. Persiapan awal harus diambil kira sebelum melancong atau tinggal di Korea.

Mengenai budaya pula, tidak banyak beza seperti di Malaysia. Etika dan nilai kesopanan masih diterapkan di kalangan masyarakat di Korea. Rata-rata setiap warga mereka seringkali mengucapkan Hello iaitu "Annyeonghaseyo" apabila bertemu individu lain. Ucapan ini kadangkala disertakan dengan membongkokkan sedikit badan ke depan sebagai tanda hormat.

Anda tidak perlu risau apabila berada di Korea kerana mereka di sini baik-baik belaka. Anda tidak akan terasa seperti orang asing kerana mereka sentiasa mengalukan kedatangan pelancong-pelancong antarabangsa.

Tetapi harus diingat, bahasa merupakan sedikit halangan kepada kita apabila melancong ke negara Korea ini. Penggunaan bahasa Inggeris mereka tidak begitu meluas. Oleh itu bahasa Korea merupakan bahasa utama yang ditutur di sini. Tetapi tidak menjadi masalah bagi mereka yang ingin ke Korea kerana segelintir mereka mampu berbahasa Inggeris. Ada juga peniaga-peniaga yang telah mula berbahasa Melayu di sini. Paling ketara apabila memberitahu harga dan nombor.

Mengenai makanan, terdapat beberapa masalah bagi pelancong yang beragama Islam di sini. Rata-rata di sini mereka menghidangkan juadah yang tidak halal. Tetapi jangan jadikan itu satu halangan kerana terdapat sejumlah restoran Muslim di sebuah lokasi yang menyediakan makanan Halal. Jika anda melancong bersama saya, saya mempunyai banyak tips bagaimana mendapatkan makanan yang halal.

Apa yang menarik apabila tinggal di Korea, anda tidak pernah akan berasa puas menjelajah kota yang penuh dengan lampu-lampu neon yang sememangnya indah terutamanya di sebelah malam. Saya sendiri menghabiskan masa selama 3 minggu dan lebih pada setiap kunjungan, saya tidak pernah berasa puas.

Dan... Di saat entry ini ditulis, saya masih di Seoul..

Monday, August 1, 2011

Jom Lawat Korea

Pengenalan

Jom Lawat Korea adalah sebuah blog berbahasa Melayu yang bakal membawa anda terbang jauh ke Bumi Sonata.. Blog ini akan berkongsi segala daya tarikan yang terdapat di Negara Korea Selatan.. Segala informasi dan juga tips bakal dikongsi bersama-sama dari masa ke semasa..

Kandungan Jom lawat Korea adalah berdasarkan penjelajahan penulis sendiri ke seluruh pelusuk Korea.. Isu yang bakal dikongsi tidak bersifat general tetapi lebih menumpu kepada satu-satu tempat menarik, makanan, budaya dan sebagainya..

Jom Lawat Korea juga akan memberikan tips-tips berguna buat anda yang akan melancong ke Korea sekali gus membantu anda dalam perjalan menuju ke negara yang sangat menarik ini..

Teruskan bersama Jom Lawat Korea untuk updates terkini mengenai destinasi pelancongan yang semakin popular dan menjadi pilihan pelancong-pelancong dari Malaysia.

Trip Inquiry Form

  • Full Name*
  • Email Address*
  • Phone Number
  • Departure Date (Exact / Planning)*
  • Trip Period*
  • Number of Pax*
  • Remarks (Request, Inquiry etc)
  • Security Code*

     

  •  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...